Showing posts with label Bab 1 : Pesona Ibu. Show all posts
Showing posts with label Bab 1 : Pesona Ibu. Show all posts

Friday, 7 December 2018

Besarnya Pengaruh Ibu

Ibu dan anak memiliki ikatan yang sangat kuat dan suci. Kasih sayang seorang ibu tidak berbelah bagi terhadap anak-anaknya. Peranan terbesar dan paling bermakna buat seorang ibu ialah mendidik anak-anak.

Anak-anak sentiasa memerhati dan mencontohi setiap kata-kata, sikap dan tindakan ibu bapa dalam menghadapi sesuatu situasi. Ibu bapa perlu bijak mendidik anak-anak memahami setiap perlakuan dari perspektif yang positif. Perkembangan kemahiran dan sikap anak-anak sangat dipengaruhi oleh keluarga ketika mereka sedang membesar.

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

Kalau nak disebutkan, sememangnya terlalu banyak peranan ibu samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam mendidik anak-anak.

Sebagai ibu yang melahirkan, ikatan antara ibu dan anak sudah terjalin dari pelbagai sudut termasuklah emosi ibu. Emosi yang ditunjukkan oleh ibu sejak anak dilahirkan memberi impak yang sangat besar dalam membentuk perkembangan emosi anak-anak.

Kepantasan ibu memberi reaksi terhadap keperluan anak-anak dan bagaimana keprihatinan ibu terhadap orang lain memberi kesan kepada anak-anak untuk belajar memahami orang di sekelilingnya dan mengawal emosi dengan baik.

Ibu yang baik akan memberikan perhatian kepada setiap keperluan anak walau betapa kecil atau kurang pentingnya ia pada pandangan ibu. Kecil bagi ibu sebenarnya amat besar maknanya bagi seorang anak.

Hidup ini indah. Sikap positif, bekerja keras, sensitif terhadap orang lain, dan berdisiplin dapat dinagunkan dalam diri anak-anak sekiranya ibu dapat menunjukkan sifat-sifat ini dalam kehidupan seharian.

Anak-anak belajar memahami makna kekeluargaan terutama daripada ibu yang paling banyak meluangkan masa bersama anak-anak. Cara ibu berinteraksi dengan semua ahli keluarga samada keluarga jauh mahupun dekat, secara tidak langsung mengajar anak tentang kepentingan menjaga hubungan sesama keluarga.

Luangkan lebih masa bersama keluarga dan melakukan aktiviti bersama akan membentuk ikatan kekeluargaan yang kukuh dan penuh makna.

Thursday, 6 December 2018

Anak Mendidik Kita

Saat baru dilahirkan sehingga hampir usia setahun, ibu belajar memahami keperluan anak. Hanya dengan pandangan mata, tangisan dan kata-kata yang belum difahami maknanya ibu tetap dapat mencukupkan semua kehendak si bayi. Malah bunyi tangisan anak pun boleh dikategorikan mengikut nada tangisan. Ibu belajar memahami emosi si kecil, membuat si kecil rasa disayangi dan selamat.

Semakin hari anak kecil ibu semakin membesar. Mulalah belajar bertatih, belajar memahami dan berkomunikasi dengan orang sekeliling dan suasana persekitaran. Pada masa ini, anak semakin comel dengan ragam dan pelbagai kemahiran yang baru. Ibu setia membimbing mengikut perkembangan anak-anak. Membantu si kecil ketika belajar menolak kaki untuk bergerak, memimpin tangan ketika belajar melangkah, belajar menyuap makanan dengan cermat dan macam-macam lagi. Ibu belajar bersabar dengan kerenah anak dan belajar mengajar anak tekun dan gembira.

Apabila anak memasuki alam persekolahan, semakin banyak kemahiran yang perlu dipelajari. Menghantar dan meninggalkan anak menangis pada hari pertama di sekolah adalah pengalaman yang menyedihkan buat ibu. Memikirkan bagaimana keadaan anak di sekolah, makan atau tidak? Adakah anak-anak dapat bergaul dengan baik bersama kawan-kawan. Adakah cikgu melayan anak dengan baik? Semua berlegar dalam kepala terutama pada minggu awal persekolahan.

Di peringkat ini, ibu perlu bijak menggunakan daya pujuk dan membimbing anak menyesuaikan diri dengan suasana persekolahan. Ibu boleh memberitahu anak adab-adab bergaul, mengapa perlu ikut peraturan, mengapa perlu hormat guru dan rakan-rakan dan sentiasa memberi galakan agar anak seronok belajar. Ibu yang rajin membaca dan sedia membantu anak-anak mengulangkaji di rumah menjadi contoh kepada anak-anak pentingnya menimba ilmu.

Berbeza halnya apabila anak di peringkat remaja. Ibu perlu lebih memahami emosi dan psikologi anak-anak. Komunikasi berkesan sangat membantu dalam hubungan ibu dan anak agar anak-anak sentiasa bersedia meluahkan apa pun yang terbuku di hati mereka. Apabila ibu dan anak saling berkongsi cerita, anak-anak akan lebih terbuka menerima pandangan dan nasihat ibu.

Indahnya aturan tuhan. Ibu membesarkan dan membimbing anak-anak. Dalam masa yang sama, anak-anak mendidik ibu melalui pengalaman-pengalaman menarik yang menjadikan ibu seorang ibu yang semakin baik setiap hari.

Ibu Yang Sabar dan Ikhlas

Masa terus berlalu. Tiba masanya ibu dan ayah melepaskan saya menjadi suri hati suami. Saya mula belajar menjadi isteri. Menyesuaikan diri sebagai pelengkap kepada suami. Ada masa gembira. Ada ketika sedih dan kecewa. Pengalaman beradaptasi ke dunia baru adalah memori indah dalam hidup seorang wanita. Semuanya mematangkan kita.

Kehadiran cahaya mata pertama menambah kebahagiaan hidup bersama. Saya bersyukur memiliki suami yang selalu sedia membantu dan menyokong saya sebagai ibu baru. Suami mudah menyesuaikan diri membantu menguruskan anak pertama. Sememangnya adik-beradik suami diajar berdikari dan saling membantu di rumah sejak kecil. Hebat ibu mertua saya. Saya kagum melihat cara didikan ibu mertua saya. Adik-beradik suami semuanya memiliki hati yang sangat baik, sangat suka membantu orang lain dan boleh menyesuaikan diri di mana saja.

Kini, saya telahpun menjadi ibu kepada lima orang cahaya mata. Terlalu banyak pengalaman yang telah dilalui. Bukan saja semasa mengandung, kisah melahirkan juga membawa cerita tersendiri. Membesarkan dan mendidik anak-anak dalam zaman yang moden dan pantas ini, ibu perlu sedia belajar dan mengamalkan gaya didikan sesuai dengan arus kemodenan zaman.

Sebagai ibu, kesabaran dan keikhlasan amat penting. Ibu perlu mendidik anak dari pelbagai aspek kehidupan dan berbeza untuk setiap peringkat umur anak. Anak-anak dapat melihat betapa sabar dan ikhlasnya ibu walau mereka tidak menyatakannya.

Zaman ini begitu banyak makanan dan minuman yang menjejaskan kesihatan tetapi sangat digemari anak-anak.

Zaman di mana maklumat semua berada di hujung jari. Bukan saja maklumat berguna, malah begitu banyak pengaruh yang tidak baik juga berleluasa di media sosial.

Zaman begitu ramai orang meluahkan kata-kata sesuka hati di media sosial. Zaman viral yang terkadang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Anak-anak sangat perlu dipantau dan dibimbing untuk berhadapan dengan maklumat-maklumat yang memberi impak negatif.

Zaman perlunya semua ibu bapa memiliki ilmu keibubapaan yang baik agar dapat menggunakan landasan dan cara terbaik dalam mendidik anak-anak dengan sebaiknya. Semua ini dapat dicapai sekiranya ibu tetap kekal ikhlas dan sabar dalam membesarkan dan mendidik anak-anak tersayang.

Kasih Sayang dan Pengorbanan Ibu

Ibu, 
Ibu,
Engkaulah ratu hatiku,
Bila kuberduka engkau hiburkan selalu,
Ibu, ibu engkaulah ratu hatiku.

Teringat lagu ni masa zaman kanak-kanak dulu. Bahagianya tengok wajah ibu. 

Memori zaman kanak-kanak masih bermain-main dalam ingatan. Masa kecil dulu, ibu memang banyak berkorban. Setiap hari ibu bangun pagi dah siapkan makanan. Sebelum bergerak ke tempat kerja, semua kain dah siap bersusun begitu teratur di ampaian. Rumah ditinggalkan dalam keadaan yang bersih.

Saya dan adik-adik ditinggalkan dalam jagaan pembantu rumah. Tugas utama pembantu rumah adalah menjaga kami. Selain itu, pembantu rumah yang kami gelar 'Auntie' akan memanaskan makanan untuk kami makan, mengemas rumah sekiranya perlu dan membantu sedikit sebanyak kerja rumah hanya semasa ketiadaan ibu.

Pulang dari kerja, ibu sambung memasak untuk keluarga. Ibu juga yang membuat kebanyakan kerja di rumah. Hanya apabila ibu ada tugasan kerja yang perlu disiapkan, ibu meminta bantuan 'Auntie'. Ibu menjaga kami sehingga tidur. Begitulah setiap hari. Ayah memang jarang ada di rumah kerana tugas.

Apabila di bangku sekolah, ibu mengajar kami cara-cara menyesuaikan diri di sekolah. Setiap hari ibu membimbing kami menyiapkan kerja rumah. Malah sebelum peperiksaan, ibu mengajar kami dengan tekun dan sabar. 

Ada ketikanya, kami cedera semasa bermain. Ibu merawat kami dengan penuh kasih sayang. Ibu menasihati kami dengan begitu lembut. 

Ibulah tukang, ibulah juri. Ibu boleh jadi segala-galanya untuk anak tercinta.

Terlalu banyak pengorbanan dan kasih sayang dicurahkan oleh ibu dalam membesarkan kami.

Saya amat bersyukur kami empat beradik diterapkan dengan amalan jujur, saling memaafkan, berkongsi kegembiraan, suka membantu orang lain dan didikan agama sejak kecil.

Tuesday, 4 December 2018

Redha Suami

Selama ni semua benda dah dibuat. Cakap dengan anak elok-elok. Dah ikut semua tips keibubapaan macam dalam buku. Seminar keibubapaan pun dah pergi.

Tapi kenapa anak-anak masih degil?

Kat rumah asyik bergaduh sesama adik-beradik. Berani melawan kata ibu bapa.

Di mana salahnya?

Wahai ibu yang menawan, cuba renung-renungkan. Ada tak anda buat suami sakit hati atau kecewa? Ada marah-marah suami? Apa yang anda buat sewaktu suami pulang dari kerja? Apa yang anda dan suami anda bicarakan? Mungkinkah ada kata-kata yang menyentuh hati suami?

Hari ini atau hari-hari sebelum ini. Bagaimana layanan terhadap suami?

Sepanjang pengalaman saya bertemu wanita-wanita yang mendapatkan terapi, kebanyakan wanita sekarang agak kuat EGOnya.

Isteri harap suami layan isteri dengan baik, tapi isteri menunggu suami buat dulu.

Nak dihujani dengan panggilan telefon dan mesej, tapi tunggu suami buat dulu.

Nak suami selalu katakan cintanya, tapi tunggu suami sampai ke sudah tak kata apa-apa.

Suami tak faham bila isteri tak beritahu. Isteri pula layan sedih, merajuk sebab suami tak faham-faham.

Siapa yang ego? Suami je ego? 

Jangan tak mengaku, isteri pun ego juga. Dah ego, harap suami jadi 'mind-reader' pula. 

Kalaulah semua suami dapat kuasa boleh baca fikiran isteri. Nak macam tu ye? 

Apapun yang kita impikan, betapa berharapnya kita nak ada suami sempurna, sebagai isteri kita wajib ingat satu perkara.

Syurga isteri di tapak kaki suami.

Tak rugi kita turunkan ego kita, dan mulakan semuanya.

Layan suami, manjakan suami dan sayangi suami sebaiknya. 

Mungkin sekarang suami belum berubah. Tapi percayalah. suami pasti suka. Lambat laun anda akan lihat suami anda semakin berubah menjadi lebih baik. 

Seorang sahabat saya ambil masa setahun mengubah suaminya yang bengis menjadi suami yang sangat penyayang malah sekarang suami sahabat ini sangat menyokong semua aktiviti yang sahabat saya lakukan. Rezeki sahabat saya juga semakin lancar dan melimpah ruah. Banyak peluang-peluang yang datang tanpa disangka-sangka.

Begitulah hidup isteri yang diredhai suami.

Berubahlah kerana Allah. Layani suami sebaiknya dengan niat mendapat keredhaan Allah. Perubahan suami menjadi lebih baik adalah BONUS.

Apabila suami redha, bukan saja hati akan menjadi tenang malah rezeki juga semakin lancar. Semua perkara dalam hidup akan dipermudahkan berkat redha suami. 

Suami redha, isteri tenang, keluarga bahagia.



Monday, 3 December 2018

Aura dan Kehidupan

APA KAITAN AURA DENGAN KEHIDUPAN?

Aura mempengaruhi keseluruhan aspek hidup manusia pada semua level fizikal, mental mahupun spiritual.


"Badan fizikal kita, dan kehidupan material kita adalah 'produk' yang lahir dari aura kita."


"Aura adalah SEBAB, manakala kehidupan kita (kesihatan, perhubungan dengan sesama, ekonomi, kebahagiaan) adalah AKIBAT."


Aura yang suram atau buruk akan menghasilkan kesihatan yang buruk, perhubungan sosial yang buruk, ekonomi yang buruk, serta memberikan kesusahan, kesempitan dan kesengsaraan yang berterusan.

Anda pasti punya pengalaman seperti ini.


Anda sakit. Anda berusaha untuk sembuh dan sihat. Anda berusaha sekuat tenaga dan sedaya upaya namun anda masih juga sakit. Ada orang lain sakit seperti anda tapi sembuh begitu mudah dan cepat. Kenapa?


Anda kesempitan ekonomi. Anda sudah berusaha sedaya upaya bekerja siang malam begitu fokus namun kesempitan ekonomi yang anda alami seperti tiada penghujungnya. Tapi ada pula orang di luar sana dengan begitu mudahnya mendapat rezeki yang melimpah-limpah dengan usaha yang sangat minima. Kenapa?


Kenapa anda sering berada di tempat yang salah pada masa yang salah? Kenapa anda sering berada di tempat dan masa yang ada musibah? Kenapa anda selalu terlepas peluang-peluang baik?


Jawapannya, kerana aura anda telah suram atau telah buruk. Aura anda ada sekatan sehingga tidak dapat memancar dengan terang dan harmoni.


Seluruh alam ini adalah getaran tenaga. Ini hakikat Hukum Fizik Kuantum. Kita adalah atom-atom yang saling sambung-menyambung. Kita adalah lautan tenaga yang satu dan saling mempengaruhi. Aliran tenaga sentiasa berputar dari alam semesta ke diri kita, dari diri kita ke alam semesta di dalam kesatuan ini. Apabila aura kita ada sekatan, aliran energi antara kita dan alam semesta tidak harmoni dan membuat kita selalu terkecuali dari mendapat anugerah-anugerah kehidupan.


Kondisi aura anda boleh dilihat pada keadaan perasaan anda. Apabila aura yang suram dan buruk, anda akan sentiasa merasakan perasaan-perasaan negatif, susah hati, sedih, kecewa, takut dan sekelasnya. Perasaan-perasaan ini akan terzahir di dalam kehidupan dalam bentuk kesusahan-kesusahan, kesempitan-kesempitan, dan kesusahan-kesusahan.


Selagi aura tidak dibersihkan, selagi itulah kesempitan-kesempitan perasaan dan kehidupan akan terus berlarutan.


AURA CANTIK, KEHIDUPAN INDAH DAN HARMONI.

Aura Diri

APA ITU AURA?

Saya yakin anda pasti sudah sering mendengar perkataan Aura. Namun tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan Aura?


Aura adalah cahaya warna warni yang menyelubungi badan fizikal kita. Ia adalah sejenis cahaya yang tidak nampak oleh mata fizikal kita, kerana frekuensi gelombangnya. Mata manusia biasa hanya dapat melihat gelombang cahaya dalam julat frekuensi 430-770 hz. Mata akan gagal merespon gelombang cahaya di bawah 430 hz atau lebih daripada 770 hz.


Rajah 1: Cahaya nampak dan cahaya tidak nampak


*(sila rujuk rajah 1 di bawah)






Medan aura manusia berada di frekuensi 'cahaya nampak' yang tidak dapat dilihat secara terus oleh mata fizikal manusia. Walaubagaimanapun, terdapat latihan khas dan mudah yang boleh dilakukan untuk melatih mata fizikal melihat aura. Namun, ia terbatas sekadar melihat aura sebagai kabus putih samar-samar yang menyelimuti badan dan tidak dapat melihat warna-warni aura.


Rajah 2: Ilustrasi lapisan aura manusia


Aura kita manusia ada 7 lapis yang berbeza warna. Perbezaan warna aura adalah kerana berbezanya frekuensi gelombang setiap lapisan aura tersebut.


*(Sila rujuk Rajah 2 di bawah)





Lapisan aura dengan getaran paling rendah adalah berwarna merah, lapisan ini adalah lapisan yang paling rapat dengan badan fizikal, merupakan pancaran tenaga dari aktiviti sel-sel badan.


Lapisan aura kedua dari badan berwarna jingga. Lapisan ini merupakan pancaran energi dari emosi/perasaan.


Lapisan aura ketiga berwarna kuning. Pancarannya merupakan pancaran tenaga dari aktiviti fikiran.


Lapisan aura keempat berwarna hijau dan merupakan pancaran tenaga cinta kasih.


Lapisan aura kelima berwarna biru muda iaitu pancaran dari tenaga jiwa (diri sejati)


Lapisan keenam berwarna biru laut. Dikenali sebagai pancaran tenaga dari badan cahaya.


Lapisan ketujuh berwarna putih/ungu yang merupakan pancaran tenaga dari badan kosmos.


Mungkin ini info baru yang membuka minda ibu-ibu. Keadaan aura sangat mempengaruhi keadaan fizikal, mental dan kehidupan kita. Apabila sudah mula memahami, pasti lebih seronok.

Kerja Tanpa Cuti

Seawal pagi ibu sudah mula menyiapkan semua keperluan suami dan anak-anak. Memastikan semua orang berada dalam keadaan terbaik dengan pakaian yang kemas bersedia untuk ke sekolah dan ke pejabat. Sarapan pagi sudah tersedia agar suami dan anak-anak keluar rumah dengan penuh tenaga. Tak sempat sediakan sarapan pagi, ibu beli makanan di kedai. Walau kadang ibu sendiri tak sempat bersarapan, semua insan dalam jagaannya dipastikan cukup makan, cukup pakai.

Bagi ibu yang tak bekerja, selepas suami ke pejabat dan anak-anak ke sekolah, tinggallah si kecil di rumah. Ibu buat apa kat rumah tu? Tengok drama ke? Sambung tidur? Suri rumahlah katakan. No, no, no.

Kain baju berbakul-bakul. Ibulah yang membasuh, menjemur, melipat dan menyusun kemas di almari.

Pinggan-mangkuk, periuk belanga siapa yang uruskan ya? Ibu juga..

Anak-anak pulang dari sekolah dengan gembira masuk ke rumah yang kemas tersusun dan bersih.

Suami juga perlu dibelai dan dimanja. Hati suami dijaga sebaiknya.

Sarapan pagi, makan tengah hari hinggalah ke makan malam. Beberapa kali sehari, pasti ibu menyediakan hidangan untuk keluarga.

Sempat juga ibu menjadi guru membimbing anak-anak membuat kerja sekolah semasa di rumah.

Ibu menghantar anak-anak pergi mengaji dan mengikuti pelbagai program kanak-kanak dengan harapan agar anak-anaknya menjadi insan terbaik.

Anda ibu bekerja? Pulang kerja pun kena urus suami dan anak-anak. Mendengar celoteh mereka. Walau dalam kerja pejabat masih berlegar-legar di kepala, ibu tetap tersenyum dan terus melayan kerenah semua.

Ibulah orang terakhir melelapkan mata dan orang terawal membuka mata demi keluarga tercinta.

Saat anak-anak sakit, ibu bersengkang mata ikhtiarkan agar anak rasa selesa dan memastikan ubat di makan mengikut masa. Mata bertukar jadi mata panda tidak dihiraukan asalkan anak kembali sihat dan ceria.

24 jam tanpa cuti. Walau sihat, walau sakit, walau segar, walau lelah, walau sedih, walau gembira. Ibu tetap ibu.

Ibulah hakim, ibulah juri. Ibulah jururawat, ibulah doktor. Ibulah guru, ibulah penghibur. Pendek kata, ibulah segalanya. Ibu jugalah asasnya yang membentuk sikap dan suasana sebuah keluarga.

Ibu yang serabut membentuk keluarga serabut.
Ibu yang bahagia membentuk keluarga bahagia.

Anda pilih jadi ibu yang mana?



Friday, 30 November 2018

Saat Pertama Bergelar Ibu

Melihat wajah comel bayi pertama yang dilahirkan adalah saat yang tak pernah dilupakan oleh semua wanita bergelar ibu. Dari senyuman kegembiraan ketika mendapat berita kehadiran si kecil dalam rahim ibu, menanggung semua kesakitan, keperitan, tidur yang tidak selesa, kejang kaki, kejang pinggang, senak perut, sesak nafas, mengidam makan itu dan ini, sehingga debaran dan kesakitan melahirkan. Semuanya hilang saat menatap wajah comel, anugerah Tuhan hasil perkongsian cinta bersama suami. Lahirnya amanah yang besar dalam hidup.

Terima kasih anak pertama ibu. Keranamu ibu menjadi seorang ibu. Darimu ibu belajar selok-belok menjadi ibu. Ibu belajar memandikan tubuh kecil yang belum tau apa-apa. Ibu belajar memahami semua keperluanmu. Walau tidur malam tak senyenyak sebelumnya, ikhlas ibu buat segalanya demi anak tersayang. Membesarkanmu, menyayangimu adalah anugerah terindah dari Tuhan.

Kehadiranmu dalam hidup ibu juga menjadi penguat rasa syukur dan kasih sayang ibu kepada insan yang melahirkan, membesarkan dan mendidik ibu sehingga ke saat ini. Alhamdulillah, saat tulisan ini ditulis, ibuku masih ada bersama-sama. Sentiasa menyayangi, menyokong dan memberi kekuatan agar hidup ini selalu merasa syukur dan bahagia.

Bergelar ibu itu membahagiakan.