Tuesday, 4 December 2018

Jangan Sebut JANGAN

Minda bawah sedar tidak boleh memproses kata nafi.

Jika saya berkata,"Jangan fikir pisang biru."

Apakah perkara pertama yang akan lakukan ketika mendengar frasa ini? Anda akan terbayang pisang yang berwarna biru, kan?

Cuba sekali lagi. Cuba sebut, "Jangan fikir kucing hijau."

Apakah yang terbayang di fikiran anda? Warna apakah kucing itu?

Begitulah juga minda anak-anak. Apabila anda berkata, "Jangan panjat tangga tu."

Anda rasa apa yang akan berlaku?

Minda manusia tidak boleh memproses kata nafi. Apakah kata nafi yang sering digunakan oleh ibu-ibu? Selalu kedengaran apabila ibu cuba melarang anak-anak melakukan sesuatu perkara.

JANGAN. TIDAK. Kedua-dua kata nafi ini amat popular penggunaannya dalam kalangan ibu-ibu.

Ibu-ibu perlu ubah cara percakapan untuk membentuk sikap anak-anak. Gunakan hanya kata-kata tanpa kata nafi. Sebaiknya gunakan hanya kata-kata yang positif.

Mari kita cuba bincangkan situasi yang kerap berlaku dan bagaimana komunikasi sesuai yang diterima oleh minda anak-anak dengan makna yang benar-benar dimaksudkan.

Situasi anak memanjat.

"Adik, jangan panjat pagar tu. Nanti jatuh." (✗)
"Adik, turun dari pagar tu. Hati-hati ya sayang." (✓)

Situasi anak sedang makan.

"Kakak, makan tu jangan tumpah tau. Nanti habis kotor meja." (✗)
"Kakak, makan elok-elok ya. Kakak anak yang baik kan?" (✓)

Naluri seorang ibu sentiasa inginkan anak berada dalam keadaan selamat dan dapat membuat sesuatu perkara dengan baik. Namun, ramai ibu yang belum terdedah dengan cara minda berfungsi. Oleh itu, ibu mewarisi cara didikan yang kerap dilihat sejak kecil iaitu dengan larangan.

Niat yang baik akan lebih berhasil apabila menggunakan cara komunikasi yang betul mengikut sistem minda manusia.

Mulakan dahulu. Lama-kelamaan ibu akan biasa menggunakan kata-kata yang lebih sesuai semasa bersama anak-anak.

Semoga info ini bermanfaat membantu sedikit sebanyak usaha ibu-ibu dalam mendidik anak-anak.


No comments:

Post a Comment