KENAPA MANUSIA MENJERIT-JERIT MASA MARAH?
Seorang Syeikh berjalan dengan para muridnya. Mereka melihat ada sebuah keluarga yang sedang bertengkar dan saling berteriak.
Syeikh tersebut berpaling kepada muridnya dan bertanya : "Mengapa orang saling berteriak jika mereka sedang marah?".
Salah seorang murid menjawab : "Kerana kehilangan sabar sebab itulah mereka berteriak."
"Tetapi, mengapa harus berteriak kepada orang yang berada di sebelahnya?
Bukankah pesan yang dia sampaikan boleh diucapkan dengan perlahan saja?" Tanya Syeikh menguji murid-muridnya.
Muridnya pun saling memberikan jawapan, namun tidak satupun jawapan yang mereka sepakati.
Akhirnya Syeikh berkata : "Bila dua orang sedang marah, ketahuilah hati mereka saling berjauhan. Untuk dapat menempuh jarak yang jauh itu, mereka mesti berteriak agar perkataannya dapat didengar. Semakin marah, maka akan semakin kuat teriakannya. Kerana jarak kedua hati semakin jauh".
"Begitu juga sebaliknya. Bagaimana pula di saat kedua insan saling jatuh cinta?" tanya Syeikh.
"Mereka tidak saling berteriak antara yang satu dengan yang lain. Mereka berbicara lembut kerana hati mereka berdekatan. Jarak antara kedua-dua hati sangat dekat."
"Bila mereka semakin lagi saling mencintai, apa yang terjadi?" Mereka tidak lagi bicara. Mereka hanya berbisik dan saling mendekat dalam kasih-sayang. Pada akhirnya, mereka bahkan tidak perlu lagi berbisik. Mereka cukup hanya dengan saling memandang. Itu saja. Sedekat itulah dua insan yang saling mengasihi."
Syeikh memandang muridnya dan mengingatkan dengan lembut : "Jika terjadi pertengkaran di antara kalian, jangan biarkan hati kalian berjauhan. Jangan ucapkan perkataan yang membuat hati kian menjauh kerana jika kita biarkan, satu hari jaraknya tidak akan lagi boleh ditempuh"!!!
Mungkin anda pernah dengar kisah ini. Begitulah hati kita. Anak-anak akan merasa jauh saat ibu memarahi mereka. Jika anak-anak sering berhadapan situasi dimarahi, rasa menjauh dan tidak disayangi akan sentiasa melekat dalam minda anak-anak tanpa disedari.
Semakin mereka dewasa, akhirnya anak-anak semakin menjauh. Tidak mustahil kisah yang sama berulang kepada anak cucu mereka pula kerana mengikut hukum getaran dan tenaga, semua data yang tersimpan dalam minda sangat berpotensi dipindahkan kepada pewaris seterusnya. Situasi ini akan terus berulang sehinggalah seseorang membuat perubahan dalam sistem mindanya.
Pilih untuk selalu menyantuni anak-anak dengan bahasa yang baik. Bukan saja anak-anak akan merasa lebih dihargai, malah anak-anak akan mencontohi sikap yang baik ini di mana jua mereka berada.
No comments:
Post a Comment