Ibu,
Engkaulah ratu hatiku,
Bila kuberduka engkau hiburkan selalu,
Ibu, ibu engkaulah ratu hatiku.
Teringat lagu ni masa zaman kanak-kanak dulu. Bahagianya tengok wajah ibu.
Memori zaman kanak-kanak masih bermain-main dalam ingatan. Masa kecil dulu, ibu memang banyak berkorban. Setiap hari ibu bangun pagi dah siapkan makanan. Sebelum bergerak ke tempat kerja, semua kain dah siap bersusun begitu teratur di ampaian. Rumah ditinggalkan dalam keadaan yang bersih.
Saya dan adik-adik ditinggalkan dalam jagaan pembantu rumah. Tugas utama pembantu rumah adalah menjaga kami. Selain itu, pembantu rumah yang kami gelar 'Auntie' akan memanaskan makanan untuk kami makan, mengemas rumah sekiranya perlu dan membantu sedikit sebanyak kerja rumah hanya semasa ketiadaan ibu.
Pulang dari kerja, ibu sambung memasak untuk keluarga. Ibu juga yang membuat kebanyakan kerja di rumah. Hanya apabila ibu ada tugasan kerja yang perlu disiapkan, ibu meminta bantuan 'Auntie'. Ibu menjaga kami sehingga tidur. Begitulah setiap hari. Ayah memang jarang ada di rumah kerana tugas.
Apabila di bangku sekolah, ibu mengajar kami cara-cara menyesuaikan diri di sekolah. Setiap hari ibu membimbing kami menyiapkan kerja rumah. Malah sebelum peperiksaan, ibu mengajar kami dengan tekun dan sabar.
Ada ketikanya, kami cedera semasa bermain. Ibu merawat kami dengan penuh kasih sayang. Ibu menasihati kami dengan begitu lembut.
Ibulah tukang, ibulah juri. Ibu boleh jadi segala-galanya untuk anak tercinta.
Terlalu banyak pengorbanan dan kasih sayang dicurahkan oleh ibu dalam membesarkan kami.
Saya amat bersyukur kami empat beradik diterapkan dengan amalan jujur, saling memaafkan, berkongsi kegembiraan, suka membantu orang lain dan didikan agama sejak kecil.
No comments:
Post a Comment