Ibu dan anak memiliki ikatan yang sangat kuat dan suci. Kasih sayang seorang ibu tidak berbelah bagi terhadap anak-anaknya. Peranan terbesar dan paling bermakna buat seorang ibu ialah mendidik anak-anak.
Anak-anak sentiasa memerhati dan mencontohi setiap kata-kata, sikap dan tindakan ibu bapa dalam menghadapi sesuatu situasi. Ibu bapa perlu bijak mendidik anak-anak memahami setiap perlakuan dari perspektif yang positif. Perkembangan kemahiran dan sikap anak-anak sangat dipengaruhi oleh keluarga ketika mereka sedang membesar.
Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Kalau nak disebutkan, sememangnya terlalu banyak peranan ibu samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam mendidik anak-anak.
Sebagai ibu yang melahirkan, ikatan antara ibu dan anak sudah terjalin dari pelbagai sudut termasuklah emosi ibu. Emosi yang ditunjukkan oleh ibu sejak anak dilahirkan memberi impak yang sangat besar dalam membentuk perkembangan emosi anak-anak.
Kepantasan ibu memberi reaksi terhadap keperluan anak-anak dan bagaimana keprihatinan ibu terhadap orang lain memberi kesan kepada anak-anak untuk belajar memahami orang di sekelilingnya dan mengawal emosi dengan baik.
Ibu yang baik akan memberikan perhatian kepada setiap keperluan anak walau betapa kecil atau kurang pentingnya ia pada pandangan ibu. Kecil bagi ibu sebenarnya amat besar maknanya bagi seorang anak.
Hidup ini indah. Sikap positif, bekerja keras, sensitif terhadap orang lain, dan berdisiplin dapat dinagunkan dalam diri anak-anak sekiranya ibu dapat menunjukkan sifat-sifat ini dalam kehidupan seharian.
Anak-anak belajar memahami makna kekeluargaan terutama daripada ibu yang paling banyak meluangkan masa bersama anak-anak. Cara ibu berinteraksi dengan semua ahli keluarga samada keluarga jauh mahupun dekat, secara tidak langsung mengajar anak tentang kepentingan menjaga hubungan sesama keluarga.
Luangkan lebih masa bersama keluarga dan melakukan aktiviti bersama akan membentuk ikatan kekeluargaan yang kukuh dan penuh makna.
No comments:
Post a Comment