Urus Masa Berkesan
Anak-anak perlu dididik menghargai dan mengurus masa dengan baik sejak awal usia. Ajar anak-anak bersedia ke sekolah dan menyiapkan kerja rumah mengikut tempoh masa tertentu. Membuat jadual harian untuk anak-anak juga dapat membantu mendisiplin penggunaan masa anak-anak.
Cara memperuntukkan masa bagi anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mendisiplinkan masa sangat berbeza cara daripada anak-anak yang dibesarkan tanpa mengutamakan masa dan ini dapat dilihat ketara apabila mereka sudah memulakan karier dalam mana-mana bidang.
Urus Wang Berkualiti
Didik anak tentang nilai wang dan galakkan anak mula menabung seawal yang boleh. Si kecil yang belum tau erti wang tetap gembira apabila setiap hari diberi peluang memasukkan wang syiling ke dalam tabung. Jelaskan kepada anak kepentingan menabung untuk masa depan mereka. Bimbing juga anak-anak cara berbelanja dengan baik dan menghargai wang yang dibelanjakan.
Ibu boleh lakukan aktiviti menabung yang menarik untuk anak. Sediakan tiga tabung yang berlabel simpanan, belanja dan sedekah. Setiap kali anak-anak ada wang lebih, pastikan anak-anak bahagikan wang tersebut ke ketiga-tiga tabung mereka.
Tabung belanja digunakan hanya untuk membeli barang-barang yang ringkas seperti coklat atau gula-gula. Tabung sedekah pula diberikan kepada orang-orang yang memerlukan atau ketika kawan ditimpa kesusahan. Tabung simpanan dibelanjakan untuk membeli barang impian anak yang nilainya besar. Ajar anak tetapkan sasaran wang tabungan simpanan digunakan untuk apa. Contohnya, membeli komputer riba.
Bermula umur anak 11 tahun, ibu boleh memperkenalkan anak dengan simpanan dan dividen. Berikan contoh agar anak faham konsep semakin awal menabung, semakin tinggi pulangan simpanan.
Berikan contoh seperti,"Jika kamu menyimpan RM100 bermula umur 14 tahun, kamu akan memiliki wang terkumpul sebanyak RM250,000 semasa umur kamu 45 tahun, kalau kamu mula menyimpan RM100 dari umur 35 tahun kamu akan mempunyai simpanan terkumpul RM20,000 semasa kamu berumur 55 tahun."
Bantu generasi akan datang memiliki kewangan yang kukuh dan stabil dengan membudayakan amalan bijak urus wang sejak kecil.
No comments:
Post a Comment