Wednesday, 28 November 2018

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Salam sejahtera, bahagia dan menawan.

Izinkan saya perkenalkan diri saya, diberi nama Noorasyida binti Shaid oleh kedua ibu bapa tercinta.

Kini, saya seorang ibu kepada lima orang cahaya mata yang menakjubkan. Setiap hari masih terus berusaha memperbaiki diri dan menikmati hidup dengan gembira bersama keluarga tersayang. Setiap detik, setiap saat sentiasa berharga.

Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di W.P. Labuan. Kemudian meneruskan pembelajaran di sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor. 

Saya berkecimpung dalam bidang pendidikan selama 11 tahun. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dari Universiti Malaysia Sabah. Saya sukakan kanak-kanak dan suka mengajar. Namun, saya merasakan kekurangan dalam jiwa saya. Saya ingin melakukan lebih dari mengajar bidang akademik. Mencari pelengkap jiwa saya. My PASSION.

Sejak kecil, saya sememangnya telah didedahkan tentang ilmu-ilmu tenaga, ilmu metafizik, dan rawatan-rawatan alternatif tapi pada masa tu istilah-istilah yang digunakan tak sama. Ilmu metafizik dan tenaga ini sangat popular di kalangan penduduk negara ini tapi semakin menghilang seiring arus kemodenan. Di Sabah pula, masih sangat ramai orang-orang tua, datuk, nenek dan moyang yang masih mengamalkan ilmu dan rawatan alternatif ini dalam kehidupan mereka. Pada masa tu, saya tidak faham apa-apa namun saya ada mengamalkan beberapa amalan yang diajar oleh nenek, dan keluarga seperti amalan menjaga diri, menjaga harta benda, dan beberapa amalan lain yang sekarang ini sudah tidak saya amalkan lagi.

Saya sangat suka berniaga. Macam-macam perniagaan tanpa premis yang saya telah cuba buat. Kebanyakannya memang menguntungkan akan tetapi saya selalu berhenti di tengah jalan. Jumpa bisnes baru, cuba lagi. Pola ini berulang berkali-kali dalam hidup saya. Kenapa ya? Berulang kali persoalan ni bermain dalam minda saya.

Saya bersyukur kerana Allah mengurniakan saya semangat yang tidak pernah luntur. Saya sentiasa mencari dan mencari jawapan kepada setiap persoalan yang berlaku dalam hidup saya. Apatah lagi apabila sudah berkahwin dan memiliki cahaya mata. Tentulah impian semua orang ingin hidup dalam keadaan yang terbaik, kesihatan terbaik, hidup penuh kecukupan dalam semua segi. Kehadiran anak-anak buat saya lebih berusaha mencari peluang terbaik membina hidup yang terbaik.

Mungkin digerakkan oleh rasa ingin tahu dan kekuatan hati untuk hidup lebih baik, saya suka belajar mencari apa pun ilmu yang dikatakan boleh meningkatkan dan memperbaiki diri. Saya hadiri begitu banyak kelas, seminar dan program. Saya sentiasa berusaha buat secara konsisten. Sejak tahun 2008 saya melibatkan diri belajar lebih mendalam tentang ilmu metafizik. Tidak ramai yang mengenali ilmu seperti ini. Malah kebanyakan ilmu dan guru yang mengajar bidang seperti ini tidak mendapat pengiktirafan dalam negara. Tapi bagi saya, hidup saya berubah. Hidup keluarga saya juga semakin berubah. Maka saya teruskan mendalami ilmu metafizik yang begitu banyak di luar sana bagi insan-insan yang mencari. Yang tak mencari pastilah takkan berjumpa. Saya juga mula memperbaiki pelbagai aspek dalam diri saya, hidup saya, malah saya berkesempatan membantu orang lain yang mengalami masalah kesihatan, masalah perhubungan dan masalah gangguan yang bukan daripada manusia dengan ilmu metafizik.

Alhamdulillah tahun 2016 mempertemukan saya dengan beberapa orang guru metafizik yang sangat hebat. Guru-guru yang telah membantu mengubah hidup sangat ramai orang. Saya mula mendapat rakan-rakan positif yang baru. Semakin hari semakin ramai. Saya sangat gembira, kebanyakan rakan ini mempunyai matlamat yang sama iaitu memberi manfaat sebanyaknya kepada semua. Mereka yang terdiri daripada begitu banyak jenis kepakaran dan bidang perniagaan saling menyokong dengan ikhlas. 

Saya juga mula berkongsi pengetahuan tentang ilmu metafizik dan membantu sahabat-sahabat melalui terapi. Kegembiraan saya tidak dapat dikatakan apabila melihat hidup mereka berubah menjadi lebih tenang, lebih gembira malah lebih bahagia. 

Saya sendiri masih meneruskan perjalanan hidup saya, membimbing anak-anak bersama-sama menjalani hidup dengan kefahaman ilmu metafizik. Membina diri bersama-sama. Seperti ibu-ibu yang lain, impian saya agar saya dapat memberi didikan dan bimbingan terbaik untuk anak-anak saya menjadi diri mereka yang terhebat, dan memiliki kehidupan yang hebat juga. InsyaAllah.

Saya akhirnya menemui pelengkap jiwa saya. Inilah yang ingin saya kongsikan kepada semua ibu di luar sana yang masih mencari-cari petua menjadi ibu bahagia yang penuh pesona. Semoga perkongsian saya memberi manfaat kepada semua. Marilah kita bersama membina diri kita, ibulah tunggaknya. Buat apa pun dengan ilmu. Saya doakan anda semua wanita cantik bergelar ibu sentiasa berbahagia dan semakin berbahagia setiap hari. 


Aamiin, Ya Rabbal Aalamiin.

Salam sayang,

Noorasyida Shaid
Aura Pesona Ibu Bahagia

No comments:

Post a Comment